Hebahan Berita Dari Portal JPN Kedah

Jumaat, 10 Januari 2014

PTPTN nafi mansuh bayaran


http://www.ptptn.gov.my/

Ipoh: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menafikan peminjam tidak perlu membayar balik pinjaman seperti yang disebarkan dalam laman sosial Facebook.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan itu dan menyifatkan maklumat yang tersebar adalah khabar angin oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kita tidak pernah membuat keputusan sedemikian kerana setiap dasar kerajaan berkaitan PTPTN akan diputuskan pada peringkat Kabinet. Justeru, kita minta pihak yang memainkan isu ini tarik semula kenyataan di laman sosial mereka sebelum kita ambil tindakan tegas.


Buat laporan

Saya juga sudah minta pegawai PTPTN membuat laporan dan merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut, katanya mengulas tindakan pihak menggelarkan diri mereka Kerajaan Empayar Langkasuka Nusantara yang dipercayai menyebarkan berita berkenaan, tiga hari lalu.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong, mengakui perbuatan itu memberi kesan negatif kepada PTPTN yang sudah mengeluarkan RM53.23 bilion pinjaman kepada 2.34 juta peminjam sehingga kini.

Sementara itu, beliau berkata, PTPTN masih membuka peluang kepada peminjam yang terbabit banjir menghubungi cawangannya di setiap negeri bagi membincangkan proses penangguhan dan penstrukturan semula bayaran.  


Kekangan kesan peminjam

Pengurusan mempunyai kekangan untuk mengesan peminjam yang terbabit banjir. Jadi kita minta mereka hubungi kita, katanya.

Mengenai peminjam yang menyalahgunakan pinjaman termasuk berjudi selain terbabit perhimpunan haram, beliau berkata, PTPTN akan menyekat pinjaman jika terbukti mereka melanggar undang-undang.


Sumber: Berita Harian Online (8 Januari 2014)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PTPTNnafimansuhbayaran/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan